Para fuqaha mentakrifkan siyasah syar`iyyah sebagai tindakan pemerintah terhadap sesuatu perkara kerana mendapatkan suatu kemaslahatan walaupun tindakan itu tidak mempunyai dalil pada juzuknya. Dalam penakrifan lain mereka berkata menguruskan kemaslahatan manusia dengan mengikut ketentuan syara'. Kebanyakan tulisan yang berkaitan dengan siyasah syar`iyyah mendefinasikan pengertian siyasah dengan definasi yang berkisar di atas kedua-dua ta'rif tersebut.
Siyasah syar`iyyah ialah ilmu yang membincangkan mengenai pentadbiran sesebuah kerajaan Islam yang terdiri daripada undang-undang dan sistem yang berasaskan kepada asas-asas Islam atau mentadbir urusan umum daulah Islamiah dengan cara yang membawa kebaikan kepada manusia dan mengelakkan mereka daripada kemudharatan, tanpa melanggar syara' dan asas-asas kulliyyah walaupun dalam perkara yang tidak disepakati oleh ulama mujtahidin.
Oleh itu topik perbincangan siyasah syar`iyyah di kalangan para fuqaha ialah sistem, peraturan dan undang-undang yang diperlukan di dalam mengurus sesebuah negara bertepatan dengan asas-asas agama bagi menjamin pencapaian kemaslahatan kepada manusia, menunaikan segala keperluan mereka dan menjauhkan mereka daripada kemudaratan dunia dan akhirat.